Posted by Osman Affan under Fikir 
 
     
Beberapa  hari lalu, ketika mengisi minyak kereta, tiba-tiba hati saya terasa  sangat-sangat sayu, gembira dan kemudian bersyukur. Mengapa? Ia kerana  tiba-tiba sahaja saya teringat ketika saya diduga dengan kesempitan wang  dan tidak mampu mengisi minyak kereta. Saya juga teringat pengalaman  basah kuyup di dalam hujan ketika menunggang motosikal dan berhenti di  stesen minyak untuk berteduh dan mengisi minyak motor.
 Kemudian, ketika berhenti seketika di sebuah restoran untuk membeli  makanan, semasa hendak membayar harga makanan tersebut, sekali lagi  perasaan sayu, gembira dan bersyukur ini memenuhi hati dan perasaan  saya. Ini kerana saya tiba-tiba teringat semasa mula-mula diduga dengan  masalah kesempitan wang hingga sebungkus nasi juga kelihatan terlalu  mahal.
 
Sekali lagi, ketika  saya singgah di salah sebuah kedai buku MPH bagi membeli buku, perasaan  sayu, gembira dan bersyukur menguasai diri saya. Saya teringat satu  ketika beberapa tahun dahulu di mana saya sedang berdiri di sebuah kedai  buku di Terengganu sambil memegang sebuah ‘note pad’ berharga RM1.30.  Saya berdiri selama beberapa minit sambil memegang note pad itu kerana  saya cuba fikirkan sama ada saya perlu dan patut beli note pad tersebut.  Harganya kelihatan agak besar bagi saya ketika itu yang baru gagal  dalam beberapa perniagaan.
 Perkara ini membuat saya sedar tentang satu perkara yang sangat  penting. Semua pengalaman berkaitan dugaan dan cabaran yang pernah saya  alami ini sebenarnya menambahkan nikmat terhadap apa yang saya ada  sekarang. Aktiviti membeli sebungkus nasi dan sebuah buku yang mungkin  kelihatan remeh itu juga boleh menjadi satu perkara yang sangat hebat  dalam hidup seharian saya. Saya ada terfikir, adakah dugaan yang Allah  berikan kepada kita selama ini adalah untuk menambahkan lagi rasa nikmat  yang bakal kita kecapi satu hari nanti?
 Saya percaya ia benar. Jadi, jika ia benar,
 - Setiap kali kita ditimpa kesusahan dan cabaran, tidak perlulah kita  merungut, mengeluh, menuding jari dan bersedih lagi.
 - Setiap kali kita mengalami pengalaman yang tidak diingini, bolehlah  kita rasa yakin bahawa kita akan mengecap satu nikmat yang sangat hebat  satu hari nanti.
 - Setiap kali kita gagal dalam perniagaan atau peperiksaan, bolehlah  kita mula rasa seronok dan berangan-angan dengan nikmat kejayaan yang  bakal kita perolehi nanti.
 - Semakin besar dugaan dan cabaran yang kita alami, semakin besarlah  juga kejayaan dan kenikmatan yang akan kita rasai satu hari nanti.
 
 Selamat menikmati kejayaan dan kegembiraan yang bakal kita perolehi  satu hari nanti. 