Selasa, 27 April 2010

Dugaan dan cabaran menambahkan rasa nikmat

HujanBeberapa hari lalu, ketika mengisi minyak kereta, tiba-tiba hati saya terasa sangat-sangat sayu, gembira dan kemudian bersyukur. Mengapa? Ia kerana tiba-tiba sahaja saya teringat ketika saya diduga dengan kesempitan wang dan tidak mampu mengisi minyak kereta. Saya juga teringat pengalaman basah kuyup di dalam hujan ketika menunggang motosikal dan berhenti di stesen minyak untuk berteduh dan mengisi minyak motor.

Kemudian, ketika berhenti seketika di sebuah restoran untuk membeli makanan, semasa hendak membayar harga makanan tersebut, sekali lagi perasaan sayu, gembira dan bersyukur ini memenuhi hati dan perasaan saya. Ini kerana saya tiba-tiba teringat semasa mula-mula diduga dengan masalah kesempitan wang hingga sebungkus nasi juga kelihatan terlalu mahal.

HujanSekali lagi, ketika saya singgah di salah sebuah kedai buku MPH bagi membeli buku, perasaan sayu, gembira dan bersyukur menguasai diri saya. Saya teringat satu ketika beberapa tahun dahulu di mana saya sedang berdiri di sebuah kedai buku di Terengganu sambil memegang sebuah ‘note pad’ berharga RM1.30. Saya berdiri selama beberapa minit sambil memegang note pad itu kerana saya cuba fikirkan sama ada saya perlu dan patut beli note pad tersebut. Harganya kelihatan agak besar bagi saya ketika itu yang baru gagal dalam beberapa perniagaan.

Perkara ini membuat saya sedar tentang satu perkara yang sangat penting. Semua pengalaman berkaitan dugaan dan cabaran yang pernah saya alami ini sebenarnya menambahkan nikmat terhadap apa yang saya ada sekarang. Aktiviti membeli sebungkus nasi dan sebuah buku yang mungkin kelihatan remeh itu juga boleh menjadi satu perkara yang sangat hebat dalam hidup seharian saya. Saya ada terfikir, adakah dugaan yang Allah berikan kepada kita selama ini adalah untuk menambahkan lagi rasa nikmat yang bakal kita kecapi satu hari nanti?

Saya percaya ia benar. Jadi, jika ia benar,

  • Setiap kali kita ditimpa kesusahan dan cabaran, tidak perlulah kita merungut, mengeluh, menuding jari dan bersedih lagi.
  • Setiap kali kita mengalami pengalaman yang tidak diingini, bolehlah kita rasa yakin bahawa kita akan mengecap satu nikmat yang sangat hebat satu hari nanti.
  • Setiap kali kita gagal dalam perniagaan atau peperiksaan, bolehlah kita mula rasa seronok dan berangan-angan dengan nikmat kejayaan yang bakal kita perolehi nanti.
  • Semakin besar dugaan dan cabaran yang kita alami, semakin besarlah juga kejayaan dan kenikmatan yang akan kita rasai satu hari nanti.

Selamat menikmati kejayaan dan kegembiraan yang bakal kita perolehi satu hari nanti. :)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...