Dari Jubair bin Muth’in, katanya:”Aku mempunyai lima nama. Aku Muhammad (dipuji), aku Ahmad (amat terpuji), aku Mahi (penghapus) yang Tuhan menghapuskan kekafiran dengan usahaku, aku Hasyir (pengumpul) di mana dikumpulkan manusia di belakangku dan aku ‘Aqib (penghabisan).”(Bukhari)
Huraian
Siapa yang tidak kenal nama Muhammad? Jika pertanyaan: “Siapakah Muhammad itu” ditujukan kepada seorang muslim, tentu mereka sangat mengenalinya. Muhammad adalah purnama. Cahayanya di atas cahaya. Begitu syair pujian untuk dirinya. Sebagaimana yang disebutkan di dalam hadith di atas, terdapat banyak nama-nama yang diberikan kepada rasulullah dan sebagai seorang Islam kita wajib berselawat pada tiap-tiap kali menyebut, menulis atau mendengar nama Nabi Muhammad s.a.w., atau ganti namanya atau pun pangkat kenabiannya juga pangkat kerasulannya.
Pendapat ini ialah pendapat sebahagian besar daripada penyokong-penyokong Mazhab Maliki, Mazhab Hanafi, Mazhab Syafie dan Mazhab Hambali, mereka berpendapat bahawa sesiapa yang tidak berselawat pada masa-masa yang tersebut maka ia telah melakukan dosa besar kerana banyak hadith yang menjelaskan bahawa Rasulullah s.a.w., telah memberi amaran menyatakan bahawa sesiapa yang tidak berselawat kepada Baginda s.a.w., pada masa disebutkan nama atau ganti nama Baginda s.a.w. maka dialah sebakhil-bakhil manusia, dialah yang mendapat kehinaan yang memalukan dan memuramkan mukanya, dialah yang beroleh kepayahan dan kesusahan, dialah yang jauh dari rahmat Allah dan dialah yang akan masuk ke dalam neraka sekiranya tidak diampunkan dosanya meninggalkan berselawat itu, (sebagaimana yang tersebut dalam hadis Abu Zar al-Ghifari, yang diriwayatkan oleh Ibn Abu Asim; Hadis Abu Hurairah riwayat Tirmizi dan al-Hakim; riwayat at-Tabari dan Bukhari pada al-Adab al-Mufrad; Hadis Abu Hurairah riwayat Ibn Hibban dan al-Bukhari pada al-Adab al-Mufrad dan hadis Abdullah bin Jarad riwayat ad-Dailami).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan