Posted by Osman Affan under Motivasi
No Comments
Sedarkah kita, semasa kita sedang berduka, semuanya terasa seperti serba tidak kena? Bagi pelajar, ada kalanya kita sedang berduka kerana gagal mendapat keputusan A bagi subjek yang paling kita suka dan mahir. Apabila mendapat keputusan yang tidak menggembirakan itu, terasa seolah-olah semua benda di dunia ini sedang memusuhi kita.
Ketika itu, gurauan dan jenaka rakan sebaya terdengar seperti sindiran. Teguran dan nasihat guru dan ibu bapa terasa seperti sengaja mahu menambahkan garam di atas luka yang sedang terbuka. Rancangan kegemaran di televisyen pula dilihat tidak begitu menarik seperti biasa.
Bagi seorang pekerja, kita mungkin sedang berduka kerana dimarahi oleh ketua atau majikan. Ketika itu, satu demi satu perkara yang menyakitkan hati beratur di depan mata. Apabila lihat rakan sekerja berbisik, kita terasa bahan umpatan itu tentulah diri kita. Apabila terdengar rakan sekerja ketawa, terasa diri inilah yang menjadi bahan jenaka. Apabila hendak menulis dan pen kering dakwatnya, terasa seluruh dunia sedang berkomplot untuk mengenakan kita.
Bagi seorang usahawan, kita mungkin berduka kerana memikirkan perniagaan yang semakin merosot, tidak maju atau tidak mempunyai pencapaian yang memuaskan. Ketika itu, kita terasa seolah-olah tidak ada sesiapa pun di dunia ini yang memahami atau menyokong kita.
Apabila pulang ke rumah, terasa isteri terlalu mendesak dengan masalah itu dan ini. Terasa anak-anak memeningkan kepala dengan meminta ini dan itu. Ketika inilah juga pengutip hutang menghubungi kita untuk bertanyakan bayaran yang masih belum mereka terima. Inilah juga ketikanya kereta yang sihat walafiat selama ini menunjukkan ragamnya.
Jika kita sedang terperangkap di dalam senario ini semua, mampukah kita keluar daripadanya? Anda sendiri tentu pernah merasai pengalaman berduka. Adakah anda mampu mengubah rasa duka dan keluar daripada emosi yang boleh membinasakan diri?
Memang benar, bercerita tentang teori untuk menghilangkan rasa duka adalah amat mudah. Namun realitinya jika kita sendiri berada di dalam situasi tersebut, lain pula ceritanya. Apa yang perlu kita sedar ialah teknik dan cara untuk mengawal diri dan emosi kita semasa berduka ini adalah amat penting. Motivasi Diri Di Kala Duka akan menghuraikan beberapa teknik berkesan dalam mengeluarkan diri kita daripada perangkap ini semua.
Selamat membaca.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan